Wednesday, 19 May 2021

Kecelaruan Bahasa

 

KECELARUAN BAHASA : DISLEKSIA

 

 


Anak lambat bercakap? Sukar belajar perkataan baru? Ayat ini seringkali menjadi persoalan sekiranya kanak-kanak yang sepatutnya sudah boleh bercakap dan boleh belajar perkataan baru tetapi tidak mampu melakukan perkara sedemikian. Hati ibu dan ayah mana yang tidak risau apabila mengetahui anak mereka mengalami masalah ini jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengan anak mereka. Hal ini menjadikan ibu bapa tidak keruan tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Keadaan anak-anak yang lambat bertutur dan sukar mempelajari perkataan baru akan dianggap sukar untuk menjalankan aktiviti pembelajaran kelak. Oleh hal yang demikian, pasangan yang mempunyai anak-anak seperti ini perlulah peka dalam perkembangan yang berlaku terhadap anak-anak mereka.

   Kesukaran seseorang kanak-kanak untuk bertutur dan memahami pertuturan membawa maksud kepada kecelaruan bahasa. Hal ini telah dikemukakan oleh Dr. Raja Juanita Raja Lope, iaitu Pakar Perunding Pediatrik dan Perkembangan Pediatrik dari Hospital Pantai Kuala Lumpur. Walaupun kanak-kanak itu mempunyai masalah kecelaruan bahasa, mereka tidak memiliki sebarang gangguan perkembangan lain seperti autisme, ketidakupayaan intelektual atau kecacatan fizikal. Di sini saya akan berkongsi mengenai salah satu jenis kecelaruan bahasa iaitu disleksia.

Apa Itu Disleksia?

   Disleksia merupakan salah satu daripada kecelaruan bahasa yang terjadi kepada kanak-kanak. Disleksia adalah masalah cara otak berfungsi, cara berfikir, cara melihat dan cara mendengar. Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang bermaksud ‘kesukaran’ dan lexis yang bermaksud bahasa. Secara amnya, disleksia boleh ditakrifkan sebagai ‘kesukaran dalam berbahasa’ (Ott dalam Shiela Devaraj dan Samsilah Roslan, 2006) dalam buku Norul Haida Rezudan (2013). Kanak-kanak yang mempunyai masalah ini hanya mengalami gangguan dalam pembelajaran ketika peringkat kanak-kanak dan ianya bukanlah sejenis penyakit. Sebagai contoh, kanak-kanak disleksia ini mengalami gangguan dalam pembacaan, menulis, mengeja dan mengira walaupun mereka mempunyai pemikiran yang normal. Selain itu, World Federation of Neorology dalam buku Norul Haida Rezudan (2013), mendefinisikan disleksia sebagai satu gangguan dalam diri kanak-kanak yang telah menerima pendidikan biasa, tetapi tidak memperolehi kemahiran bahasa, bacaan, menulis dan ejaan yang setaraf dengan intelek. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam buku Norul Haida Rezudan (2013), murid yang mengalami masalah pembelajaran disleksia ialah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran membaca, mengeja dan menulis.

Ciri-ciri Disleksia

1.Peringkat Prasekolah

   Pada awal peringkat persekolahan, kanak-kanak disleksia sering mengalami masalah pertuturan. Kanak-kanak ini sukar mencampur-adukkan bunyi dan suku kata dalam perkataan yang panjang. Misalnya, apabila mereka diminta untuk menyebut perkataan ‘pelbagai’, perkataan tersebut disebut sebagai ‘pelgabai’. Mereka suka mengganti perkataan dengan perkataan lain semasa bercakap dan dianggap hiperaktif ketika berada di mana-mana sahaja. Mereka juga mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi terhadap perkara baharu dan suka bertanya banyak perkara.

2. Peringkat Sekolah Rendah

   Kanak-kanak disleksia pada peringkat ini dikesan agak ketinggalan berbanding dengan pelajar yang lain. Hal ini menyebabkan mereka malas untuk belajar dan mengalami disgrafia iaitu kesulitan untuk menghasilkan tulisan tangan dan tulisan yang dihasilkan adalah tidak berapa baik. Mereka juga tidak dapat membezakan huruf-huruf dan nombor tertentu menyebabkan tulisan mereka menjadi terbalik. Contohnya, huruf ‘b’ menjadi ‘d’, perkataan ‘was’ menjadi ‘saw’ dan nombor 15 menjadi 51. Kanak-kanak ini sukar untuk menguruskan diri mereka seperti tidak dapat memasang butang baju dengan betul dan menghadapi masalah untuk mengikat kasut. Mereka juga tidak suka pergi ke sekolah dan beralasan seperti mengadu tidak sihat.

3. Peringkat Sekolah Menengah

   Pelajar disleksia pada peringkat ini mempunyai ciri yang sama seperti peringkat prasekolah dan sekolah rendah cuma ada perbezaan sedikit iaitu mereka mengalami masalah dalam mempelajari perbendaharaan kata. Mereka mempunyai kelemahan dalam menulis karangan dan penguasaan bahasa kedua juga agak terjejas. Hal ini menyebabkan mereka ketinggalan daripada pelajar-pelajar yang normal.

4. Peringkat dewasa

   Pada peringkat ini, terdapat persamaan ciri seperti peringkat-peringkat yang lain. Dari segi kelancaran membaca, orang dewasa disleksia ini masih kurang lancar dan perlu mengulangi pembacaan itu bagi memahami apa yang dibaca. Mereka juga masih keliru dalam membezakan huruf seperti “b” dan “d”. Selain itu, mereka turut mengalami masalah mengingat arah kanan dan kiri, dan boleh sesat untuk pulang ke rumah sendiri walaupun sudah biasa melakukan perkara tersebut.



Masalah Disleksia

1.Masalah Fonologi

   Masalah fonologi merujuk kepada kesukaran kanak-kanak untuk membezakan hubungan antara huruf dan bunyi. Menurut Sariah Amin, Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM) dalam buku Norul Haida Rezudan (2013), golongan yang mempunyai masalah disleksia sukar untuk membezakan huruf a, d dan g disebabkan bentuknya yang serupa walaupun cara membunyikannya berbeza. Kanak-kanak disleksia juga lazimnya mengalami kesukaran untuk membezakan perkataan seperti ‘paku’ dan ‘pasu’. Selain itu juga mereka mengeja perkataan berdasarkan bunyi. Sebagai contoh, apabila disuruh untuk mengeja perkataan ‘diam’, mereka akan mengeja perkataan tersebut kepada ‘diyam’.

2.Masalah Mengingat Perkataan

   Kebanyakkan kanak-kanak disleksia mempunyai IQ yang normal dan memiliki kecerdasan yang luar biasa seperti kanak-kanak yang lain. Namun demikian, mereka mempunyai masalah dalam mengingat atau mencari semula perkataan yang telah dipelajari. Sebagai contoh, apabila guru bertanya apa yang telah mereka pelajari pada masa lepas, mereka sukar untuk mengingat perkara itu. Mereka dikatakan hanya boleh mengingati peristiwa yang lepas lebih kurang 10 minit sahaja. Kanak-kanak disleksia ini juga sukar untuk menjawab soalan secara spontan apabila ditanyakan sesuatu soalan kepada mereka. Mereka turut mengalami masalah untuk mengingati nama kawan-kawan mereka walaupun kerap bermain bersama-sama. Kanak-kanak ini juga cenderung untuk menjadi kaku dan membisu ketika disoal oleh guru mereka di dalam kelas.

3.Masalah Penyusunan Bersiri

   Kanak-kanak disleksia turut mengalami masalah dalam mengingati maklumat secara tersusun seperti menghafal sifir-sifir dan sebagainya. Hal ini mencabar mereka untuk mengingati urutan-urutan nombor tersebut. Mereka juga mempunyai kesulitan dalam mengingati urutan maklumat seperti hari dalam seminggu, bulan dalam setahun dan lain-lain. Selain itu, kanak-kanak ini juga sukar untuk membaca masa berdasarkan jam yang menggunakan jarum. Contohnya, apabila mereka ditanyakan soalan seperti “25 minit selepas pukul 2.30 petang adalah…”. Persoalan sebegini tidak mampu dijawab oleh kanak-kanak yang mempunyai masalah disleksia.

Faktor-faktor Penyebab Disleksia

1.Keturunan

   Terdapat kajian perubatan di Barat yang mendapati bahawa kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang turut mempunyai sindrom seperti ini. Hal ini telah dibuktikan oleh Hallgren (1970) dalam buku Norul Haida Rezudan (2013), yang membuat kajian ke atas 12 pasangan kembar monozygote dan mendapati kesemua keluarga 12 kes itu menghadapi masalah dalam bacaan dan ejaan semasa zaman kanak-kanak. Hallgren turut mendapati bahawa masalah disleksia banyak dihadapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak kidal juga merupakan golongan yang mempunyai masalah disleksia. Hal ini kerana kemungkinan ibu bapa kanak-kanak tersebut mempunyai masalah ini dan mewariskan kepada anak-anak mereka.

2.Biologi

   Masalah disleksia juga boleh berpunca dari segi biologi. Dalam aspek ini, kanak-kanak yang dilahirkan secara pramatang atau tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan akan mengalami masalah ini. Keadaan ini menjadi punca kepada kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan seterusnya menyebabkan kerosakan minimum pada otak kanak-kanak tersebut. Penyelidik telah mengetahui punca masalah disleksia ialah apabila fungsi otak yang memproses dan mengatur maklumat adalah berbeza dari biasa. Kemungkinan kerosakan otak yang dialami oleh golongan disleksia berlaku sejak kanak-kanak berada di dalam kandungan ibu mereka lagi. Hal ini telah dikemukakan oleh pensyarah Psikologi Klinikal dari Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Profesor Dr. Azhar Md. Zain. Tambahan lagi, individu yang menghadapi masalah ini mengalami kerosakan saraf pada bahagian otak kiri mereka.

  

3. Pemakanan

   Pemakanan yang mengandungi nutrisi yang lengkap amat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana pemakanan yang tidak mencukupi semasa peringkat kanak-kanak membesar dengan pesat, pertumbuhan akan terencat (Bernet, 2005). Sebagai contoh, kanak-kanak dan remaja yang mengalami pertumbuhan yang pesat mesti mendapat bekalan kalori yang mencukupi.  Ini bagi mengelakkan proses pertumbuhan itu tidak terganggu. Terdapat penyelidikan, kajian dan penemuan yang dilakukan dalam mengenal pasti bahan pengawet dan pewarna tiruan yang menjadi pengganggu otak sekiranya diambil secara berlebihan terutama kepada kanak-kanak yang sedang mengalami proses pertumbuhan, Antara contoh bahan-bahan tersebut ialah salicylates, tartarzine (zat pewarna makanan), nitrat, amine, monosodium glutamate (MSG) dan sebagainya.

 

Rawatan

Masalah disleksia boleh dirawat namun tidak boleh diubati. Penghidap yang mengalami masalah ini secara kebiasaannya akan diberi rawatan terapi. Hal ini bagi kemahiran linguistik, berfikir dan bersosial. Sebagai contoh, langkah pemulihan yang dilakukan ialah menggunakan video atau kaset untuk mengajar mereka, konsep ajar secara berlebihan dan seumpamanya. Terdapat juga sekolah khusus serta program pemulihan untuk golongan disleksia ini.

 

BIBLIOGRAFI

1. Norul Haida Rezudan (2013), Ilmu Psikolinguistik, Tanjong Malim: Emeritus Publications.

2. https://my.theasianparent.com/cakap-lambat-kerana-kecelaruan-bahasa

3.https://www.researchgate.net/publication/327670607_Pemahaman_ibu_bapa_terhadap_masalah_dislesksia_Jeli_Kelantan

4. https://norazilasuboh.wordpress.com/dyslexia

5. https://www.dyslexiamalaysia.org/dyslexia/apa-itu-dyslexia

 

 

 

 

 

  

No comments:

Post a Comment

NOTA KUMPULAN (KPS3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN)

  LINK UNTUK NOTA KUMPULAN (KPS3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN) ; Tajuk 1: Organisasi dan Kepimpinan https://organisasikepimpinandisekolah.blog...