Wednesday, 19 May 2021

Pemerolehan Bahasa Kedua

 

PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA : APA ITU PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA?

Sebut sahaja mengenai pemerolehan bahasa kedua, kita sering tertanya-tanya, bagaimana bahasa itu diperoleh? Adakah cara memperolehi bahasa itu mempunyai persamaan dengan pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak atau sebaliknya? Apakah tujuan untuk memperoleh dan mempelajari bahasa kedua ini? Oleh itu, saya akan berkongsi sedikit sebanyak mengenai pemerolehan bahasa kedua bagi menambahkan lagi pengetahuan kita mengenai pembelajaran ini.

Apa itu Pemerolehan Bahasa Kedua?

   Bahasa kedua merupakan bahasa yang diperoleh kanak-kanak setelah mereka menguasai bahasa pertama dengan sempurna. Pemerolehan bahasa kedua dianggap berbeza dengan pemerolehan bahasa pertama. Hal ini demikian kerana pemerolehan bahasa kedua merujuk kepada perkembangan bahasa orang dewasa. Perbezaan ini dapat dilihat dari segi pemerolehan bahasa itu sendiri. Pemerolehan bahasa kedua atau B2 boleh diperoleh melalui pembelajaran  formal dengan informal secara sedar ataupun tidak. Pemerolehan bahasa pertama pula diperoleh secara semula jadi dan secara tidak sengaja serta tidak sedar.

 

Konsep Utama dalam Pemerolehan Bahasa Kedua

1.Semula jadi atau asuhan

   Terdapat dua pendapat yang dikemukakan mengenai bagaimanakah pemerolehan bahasa kedua boleh berlaku. Pendapat yang pertama telah dikemukakan oleh Noam Chomsky. Beliau berpendapat bahawa bahasa manusia terlalu kompleks untuk dipelajari. Oleh hal yang demikian, seseorang individu mesti mempunyai kecenderungan semula jadi untuk menjangkakan bahasa semula jadi disusun dengan cara yang tertentu. Skinner pula berpendapat bahawa bahasa boleh diperolehi dengan cara meniru ucapan yang dujarkan oleh penutur atau pengasuh.

 

2. Kompetensi dan prestasi

   Kompetensi merujuk kepada gambaran abstrak dan tersembunyi daripada pengetahuan bahasa yang terdapat dalam minda kita. Ianya berpotensi untuk mencipta dan memahami ujaran asli dalam bahasa tertentu. Prestasi pula boleh ditakrifkan sebagai gambaran kecekapan yang tidak sempurna. Hal ini kerana sebahagian daripada pemprosesan komplikasi yang terlibat dalam pertuturan atau bentuk pengeluaran bahasa lain boleh membawa kepada kesilapan dalam menghasilkan ujaran.

3. Fosilisasi

   Seseorang individu yang mempelajari bahasa kedua dilihat seperti berhenti untuk membuat apa-apa kemajuan, tidak kira sebanyak mana kelas mereka hadiri atau seberapa aktif mereka menggunakan bahasa kedua untuk tujuan berkomunikasi. Terdapat penjelasan mengenai perkara ini iaitu penjelasan dari sudut psikolinguistik dan sosiolinguistik. Dari sudut psikolinguistik, mekanisme pembelajaran bahasa khusus yang tersedia kepada kanak-kanak tidak berlaku kepada orang dewasa. Hal ini demikian kerana tiada usaha dan kajian yang boleh membina mereka untuk mempelajari bahasa tersebut. Dari sudut sosiolinguistik pula seseorang individu berusia yang mempelajari bahasa kedua tidak mempunyai peluang sosial atau motivasi untuk berkomunikasi dengan komuniti penutur asli.

4. Gangguan bahasa pertama sebagai strategi pelajar

   Corder (1978) telah menggariskan satu cara di mana gangguan yang berlaku boleh dijadikan strategi untuk pelajar mempelajari bahasa kedua mereka. Beliau telah memcadangkan bahawa pelajaran bahasa pertama mampu mempermudahkan proses perkembangan pembelajaran bahasa kedua. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar itu mengalami kesukaran dalam menyampaikan idea disebabkan kurangnya sumber bahasa yang mereka sasarkan, maka mereka boleh mengatasi masalah tersebut dengan menggunakan bahasa pertama mereka. Hal ini menjelaskan mengapa bahasa pertama amat penting dalam permulaan proses pembelajaran seseorang. Cadangan ini agak serupa dengan cadangan yang dikemukakan oleh Krashen (1981), iaitu beliau mencadangkan bahawa pelajar boleh menggunakan bahasa pertama mereka untuk memulakan ucapan sekiranya mereka tidak memiliki pengetahuan yang cukup mengenai bahasa sasaran untuk tujuan berkomunikasi dengan orang lain.




Faktor yang Mempengaruhi Pembelajaran B2

   Pembelajaran bahasa kedua oleh seseorang individu adalah dipengaruhi oleh sesuatu perkara. Keadaan ini memungkinkan mereka mempelajari bahasa kedua untuk tujuan tertentu. Terdapat faktor yang menyebabkan seseorang individu itu untuk mempelajari bahasa kedua mereka. Antara faktor-faktornya ialah faktor motivasi, faktor persekitaran, faktor umur, faktor kualiti pengajaran, faktor bahasa pertama dan faktor kepintaran.

   Dalam mempelajari bahasa kedua, motivasi yang kuat mampu menghasilkan penguasaan B2 dengan baik. Mengikut perspektif ini, motivasi merangkumi dorongan, keinginan, kesediaan, alasan atau tujuan yang mendorong seseorang itu untuk mempelajari bahasa kedua. Seseorang itu boleh termotivasi untuk mempelajari bahasa keduanya mengikut sebab-sebab yang tersendiri. Faktor motivasi di sini boleh diklasifikasikan kepada motivasi integratif dan motivasi instrumen. Motivasi integratif adalah berkaitan dengan keinginan seseorang individu untuk berkomunikasi dengan orang lain, manakala motivasi instrumen merujuk kepada keinginan untuk memperoleh tuntutan peluang pekerjaan tertentu.

   Selain itu, faktor yang boleh mempengaruhi seseorang individu untuk mempelajari bahasa kedua ialah faktor persekitaran. Faktor ini meliputi persekitaran formal dan tidak formal. Persekitaran formal merupakan persekitaran sekolah yang telah dirancang seperti pengajaran dan pembelajaran serta diarahkan untuk melakukan aktiviti yang berorientasikan kaedah (Krashen, 2002: 26). Persekitaran tidak formal pula merujuk kepada persekitaran semula jadi.

   Seterusnya, faktor umur turut menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi seseorang itu untuk mempelajari bahasa kedua. Menurut Lambert (1981: 31), kanak-kanak memiliki kemahiran dalam mempelajari bahasa kedua. Hal ini demikian kerana, pada peringkat umur mereka yang masih muda ini, kemahiran untuk mempelajari bahasa lebih mudah dan cepat berbanding dengan orang dewasa. Dari segi sebutan perkataan, kanak-kanak memiliki kemahiran untuk bertutur dengan fasih walaupun mereka harus mengembangkan peraturan bahasa secara semula jadi.

   Faktor kualiti pengajaran juga merupakan salah satu daripada faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa kedua seseorang individu. Teori pembelajaran yang diajar secara semula jadi mampu memberi makna yang baik kepada kanak-kanak dalam kehidupan harian mereka. Namun demikian, pengajaran yang dilakukan secara formal membolehkan kanak-kanak menguasai bahasa kedua mereka dengan cepat walaupun mereka tidak menyatakan tahap penguasaan dalam komunikasi semula jadi (Elis, 1986: 28).

   Faktor bahasa pertama turut mempengaruhi pembelajaran bahasa kedua oleh seseorang individu. Bahasa pertama yang berhubungkait dengan bahasa kedua boleh membantu pelajar untuk mengembangkan kemahirannya dalam mempelajari bahasa kedua. Walau bagaimanapun, percampuran kod mungkin akan berlaku sekiranya individu itu menerapkan pertuturan bahasa pertamanya dalam bahasa kedua yang dipelajari.

   Akhir sekali, faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa kedua ialah faktor kepintaran. Tahap kecerdasan kanak-kanak boleh mempengaruhi pemerolehan bahasa kedua mereka. Hal ini telah dikemukakan oleh Lambert, (1981: 154). Beliau berpendapat bahawa kanak-kanak yang mempelajari dua bahasa cenderung untuk mempunyai prestasi yang baik sama ada dari segi ujian kecerdasan verbal dan non verbal berbanding dengan kanak-kanak yang mempelajari satu bahasa sahaja.

 

 

Hipotesis Pemerolehan Bahasa Kedua          

   Terdapat lima hipotesis permerolehan bahasa kedua yang dikemukakan oleh Stephen Krashen. Antaranya ialah hipotesis pemerolehan-pembelajaran, hipotesis monitor, hipotesis urutan semula jadi, hipotesis masukan dan hipotesis penapisan efektif.

1. Hipotesis Pemerolehan-Pembelajaran

    Hipotesis ini merujuk kepada bagaimana bahasa kedua sebagai sistem yang diperoleh atau dipelajari. Sistem yang diperoleh membawa maksud bahawa bahasa yang dikuasai adalah melalui proses bawah sedar. Krashen dalam bukunya yang bertajuk “Principle and Practice in Second Language Acquisition”, menekankan bahawa pemerolehan bahasa merupakan proses bawah sedar manusia. Beliau turut menjelaskan bahawa pelajar tidak menyedari yang mereka mempelajari bahasa tetapi hanya meyedari bahawa mereka berkomunikasi. Tuntasnya, pemerolehan bahasa berlaku apabila pelajar berkomunikasi secara semula jadi tanpa berfokus kepada peraturan tatabahasa.

    Berbeza pula dengan pembelajaran bahasa di mana bahasa dikuasai oleh pelajar secara sedar. Hal ini telah dipersetujui oleh Krashen, iaitu beliau berpendapat bahawa pembelajaran merujuk kepada pengetahuan secara sedar “…The term (learning) henceforth to refer to conscious knowledge of second language”. Hal ini boleh dirumuskan bahawa pembelajaran bahasa boleh dilakukan secara formal  seperti belajar di dalam kelas, kursus dan lain-lain dengan mengetahui peraturan tatabahasa serta belajar secara kontekstual.

 

2. Hipotesis Pemantauan

    Hipotesis ini menjelaskan bahawa setiap manusia dalam proses bahasa dalaman mempunyai monitor yang berfungsi sebagai penyuntingan dan pembetulan. Contohnya, dalam mempelajari bahasa Arab, terdapat penggunaan ism mu’annats dan mudzakkar, monitor akan muncul dalam fikiran seseorang untuk mempertimbangkan ketika pelajar menggunakan Hadza atau Hadzihi. Hipotesis ini turut berpendapat bahawa pemerolehan dan pembelajaran digunakan dengan cara yang sangat kompleks dan spesifik. Secara amnya, pemerolehan bahasa dimulakan dengan membuat pelajar bertutur dalam bahasa kedua dan bertanggungjawab untuk bertutur dengan fasih.

  

3. Hipotesis Urutan Semula Jadi

    Dalam hipotesis urutan semula jadi, Krashen berpendapat bahawa struktur bahasa diperoleh mengikut urutan semula jadi yang dapat dianggarkan. Hal ini kerana beberapa struktur bahasa tertentu cenderung untuk muncul lebih awal dari struktur lain dalam proses pemerolehan bahasa. Sebagai contoh, dalam struktur fonologi, kanak-kanak cenderung memperoleh vokal-vokal seperti (a) sebelum memperoleh vokal seperti (i) dan (u). Selain itu, kanak-kanak juga akan menguasai konsonan hadapan terlebih dahulu daripada konsonan belakang. Hipotesis ini turut berlaku dalam kalangan orang dewasa.

4. Hipotesis Masukan

    Dalam hipotesis ini, pembelajaran bahasa kedua berlaku sekiranya pelajar mendapat maklumat atau pengetahuan satu tahap yang lebih tinggi daripada apa yang mereka kuasai. Oleh itu, pelajar perlu mempelajari perkara baru yang belum mereka ketahui. Hipotesis ini mempunyai rumus iaitu (i+1). (i) mewakili maksud input dan (1) membawa maksud kecekapan satu tahap dari sebelumnya. Sekiranya (i+2), maka pelajar akan merasa sukar untuk mempelajari bahasa. Berbeza jika (i+0) pelajar akan berasa malas untuk belajar kerana mereka telah menguasai pembelajaran tersebut.

5. Hipotesis Penapisan Efektif

    Hipotesis penapisan efektif ini menjelaskan bahawa setiap manusia mempunyai penapisan efektif atau dikenali sebagai ‘effective filter’. Penapis inilah yang memberikan rasa takut, malu dalam diri pelajar. Hal ini berbeza dengan pelajar yang mempunyai motivasi tinggi, keyakinan tinggi dan kecemasan yang rendah, mereka akan cenderung untuk berjaya dalam pemerolehan bahasa. Krashen turut berpendapat bahawa penapis ini akan menghalang pelajar untuk menerima bahasa. Contohnya, jika seorang pelajar tidak berminat untuk mempelajari bahasa Arab, penapis pelajar ini akan menjadi lebih sempit begitu juga halnya sekiranya pelajar tersebut diejek apabila melakukan kesalahan dalam berbahasa. Keadaan ini akan menjadi masalah kepada pelajar kerana perkembangan psikologi mereka semakin sensitif terhadap persekitaran.

 

 

 

Bibliografi

https://www.researchgate.net/publication/335690866_An_Introduction_to_the_Second_Language_Acquisition

https://core.ac.uk/download/pdf/230816374.pdf

https://www.researchgate.net/publication/323387864_Pemerolehan_Bahasa_Kedua_Menurut_Stephen_Krashen



 

 

No comments:

Post a Comment

NOTA KUMPULAN (KPS3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN)

  LINK UNTUK NOTA KUMPULAN (KPS3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN) ; Tajuk 1: Organisasi dan Kepimpinan https://organisasikepimpinandisekolah.blog...