BLOG
TOPIK 6 : PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN DISIPLIN
Menurut kamus dewan edisi keempat 2021, pengurusan
boleh ditakrifkan sebagai perihal mengurus sesuatu dan lain-lain. Pengurusan amat
penting dalam sesuatu perkara bagi mencapai matlamat yang telah ditentukan. Begitu
juga halnya dengan pengurusan yang dilakukan di sesebuah institusi atau
sekolah.
APA ITU TINGKAH LAKU?
Tingkah laku merujuk kepada apa yang diperkatakan atau
dilakukan oleh seseorang individu. Ianya
menggambarkan imej atau persepsi individu itu terhadap sesuatu perkara dan
orang disekelilingnya. Tingkah laku terbahagi kepada dua iaitu tingkah laku
positif dan tingkah laku negatif. Dalam konteks pelajar di sekolah, mereka
perlu mempunyai tingkah laku yang positif supaya mampu menjadi insan yang
berguna pada masa hadapan.
APA
ITU DISIPLIN?
Disiplin pula boleh didefinisikan sebagai latihan
pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada
tatatertib. Disiplin dianggap sebagai bentuk latihan dan yang memupuk minda,
badan, dan sikap pelajar di sekolah (Sire Etum et al., 2021). Disiplin bukan
sahaja penting di sekolah malah dalam apa-apa juga hal sekalipun. Oleh itu, kita
mesti belajar mendisiplinkan diri. Jika kita tidak berdisiplin, segala perkara
yang ingin dicapai tidak mungkin menjadi kenyataan.
2.0 ISI-ISI PENTING
JENIS
SALAH LAKU
1.
Ponteng
Ponteng merupakan salah laku yang kerap dilakukan oleh
pelajar di sekolah. Ponteng ditakrifkan sebagai lari daripada tugas atau tanggungjawab.
Ponteng
juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri
kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam
satu-satu hari (Norhasilah Mat Nor et al., 2012).
2. Mencuri
Mencuri merujuk kepada mengambil kepunyaan orang tidak
dengan kebenarannya. Salah laku ini termasuk dalam kategori tingkah laku
jenayah yang melibatkan pihak polis. Masalah disiplin ini berlaku dalam
kalangan pelajar apabila mereka menginginkan sesuatu yang tidak mereka miliki.
Contohnya, pelajar ini memerlukan wang untuk membeli sesuatu untuk memenuhi
kehendak mereka. Keadaan inilah yang mendesak pelajar tersebut melakukan perkara
sebegini.
3. Kekemasan Diri
Kekemasan diri dalam masalah disiplin pelajar boleh
dikaitkan dengan pelajar yang berkuku panjang, rambut panjang, bermisai atau
berjanggut bagi pelajar lelaki dan seumpamanya. Jenis salah laku ini juga kerap
dilakukan oleh pelajar yang memang tidak ambil peduli dengan perkara ini.
Mereka hanya inginkan populariti dengan imej seperti itu walhal sebenarnya
keperibadian itu bukanlah seperti yang disangkakan.
4. Menghisap rokok
Jenis salah laku ini selalunya dilakukan oleh pelajar
lelaki. Mereka melakukan perbuatan ini untuk menunjukkan bahawa mereka sudah
matang dan ingin mencuba sesuatu yang baru. Kebiasaanya, mereka akan menghisap
rokok di tempat yang sunyi seperti di tandas sekolah, bagi mengelakkan
guru-guru mengetahui perbuatan tersebut. Oleh itu, guru perlu peka terhadap apa
sahaja perkara yang dilakukan oleh pelajar mereka.
Menurut Donnell (dikutip dalam
Sire Etum et al., 2021), mendefinisikan buli sebagai tingkah laku pelajar atau
sekumpulan pelajar yang mengganggu mangsa buli secara emosi atau fizikal untuk
jangka masa yang panjang. Masalah buli ini seringkali berlaku
dalam kalangan pelajar lelaki di mana mereka menginginkan penghargaan dalam
bentuk rasa hormat. Pembuli juga membuli mangsa dengan
menakut-nakutkan mereka (Sire Etum et al., 2021). Selalunya pelajar yang
menjadi mangsa buli merupakan pelajar yang lemah daripada mereka.
1. Sikap pelajar
Salah satu faktor yang menjadi punca salah laku atau
masalah disiplin pelajar ialah sikap pelajar itu sendiri. Pelajar yang kurang
motivasi atau kurang minat untuk belajar di sekolah akan berani untuk melakukan
masalah disiplin (Norhasilah Mat Nor et al., 2012). Hal ini demikian kerana
mereka tidak tahu dan tidak jelas akan hala tuju masa depan sendiri. Mereka
juga beranggapan bahawa sudah dewasa dan mampu membuat keputusan sendiri dengan
tepat walhal sebenarnya tidak sama sekali. Keadaan inilah yang mengakibatkan
mereka melakukan salah laku seperti ponteng kelas, membuli, merokok dan
sebagainya. Jelaslah bahawa sikap pelajar yang tidak ambil peduli dengan salah
laku yang mereka lakukan menyebabkan masalah disiplin di sesebuah sekolah
semakin berleluasa.
2.
Keruntuhan institusi keluarga
Institusi keluarga yang runtuh dan tidak harmoni
menjadi penyebab kepada berlakunya masalah disiplin atau salah laku pelajar.
Pelajar yang mempunyai keluarga seperti ini akan cenderung untuk terlibat dalam
salah laku kerana pihak ibu bapa tidak mengambil berat mengenai mereka. Mereka
juga dianggap ketandusan kasih sayang daripada ibu bapa sendiri. Contohnya, ibu
bapa yang sering bertelingkah seterusnya membawa kepada perceraian akan
mengakibatkan anak-anak mengalami tekanan dan melakukan masalah disiplin
seperti ponteng sekolah, merokok dan seumpamanya. Justeru itu, ibu bapa
seharusnya mengelakkan perkara sebegini berlaku supaya anak-anak mereka tidak
terlibat dalam masalah disiplin sekolah.
3.
Pengaruh rakan sebaya
Rakan sebaya merujuk kepada remaja yang sama umur atau
sama kematangan dengan rakan-rakan mereka. Mereka berfungsi sebagai penyokong
dan pendorong kepada rakan-rakan dalam membuat sesuatu perkara. Kesibukan ibu
bapa sehinggakan tiada masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak menyebabkan anak-anak
ini rasa terpinggir dan cuba berkongsi masalah dengan rakan-rakan mereka. Penglibatan
mereka dengan rakan-rakan yang bermasalah akan menyebabkan pelajar ini
terjerumus ke arah perlakuan negatif seperti ponteng kelas, merokok dan
sebagainya. Jelaslah bahawa rakan sebaya memberi pengaruh yang sangat kuat
kepada pelajar yang kurang motivasi dan dorongan daripada ibu bapa mereka dalam
melakukan masalah disiplin sekolah.
LANGKAH
MENGATASI MASALAH SALAH LAKU PELAJAR
Pelajar
Dalam mengatasi masalah salah laku atau disiplin
pelajar, ianya harus bermula dari sikap pelajar itu sendiri. Hal ini demikian
kerana perilaku atau tabiat seseorang itu bergantung kepada persepsi mereka
dalam melakukan sesuatu tindakan. Pelajar yang sering kali terlibat dalam
masalah disiplin perlu sedar akan kesilapan yang mereka lakukan. Kesedaran yang
wujud dalam diri pelajar amat penting supaya kesalahan yang dilakukan dapat
diminimumkan dan mereka mencuba untuk tidak mengulangi perkara tersebut. Pelajar
juga perlu mengubah tingkah laku mereka ke arah yang lebih positif supaya
masalah disiplin sekolah dapat dibendung dengan baik.
Ibu
Bapa
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
mengatasi masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah. Mereka merupakan
insan yang paling rapat dengan anak-anak yang akan memberi pengaruh dalam
setiap tindakan yang dilakukan. Pihak ini perlu sentiasa peka dengan perilaku
anak-anak mereka bagi memastikan masalah disiplin tidak berlaku. Sebagai
contoh, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak
dan tahu dengan siapa mereka berkawan. Dengan cara ini, anak-anak rasa dihargai
dan tidak terjebak ke arah tingkah laku yang negatif.
Guru
Guru sebagai golongan yang sangat hampir dengan
pelajar. Mereka dianggap ibu bapa kedua kepada anak didik selepas ibu bapa
pelajar itu sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana masa pelajar banyak
diluangkan bersama guru-guru di sekolah. Guru berperanan dalam mengawal tingkah
laku pelajar dengan pelbagai pendekatan yang sesuai bagi memastikan pelajar
sentiasa ‘on track’. Guru juga seharusnya menjadi suri teladan yang baik supaya
pelajar terdorong untuk melakukan perkara yang sama seperti datang awal ke
sekolah, berpakaian kemas dan seumpamanya. Oleh itu, guru perlu bijak dalam
mencari alternatif yang terbaik dalam mengatasi masalah disiplin pelajar di
sekolah.
3.0 Rumusan
Secara kesimpulannya, pengurusan tingkah laku dan
disiplin pelajar amat penting supaya segala matlamat yang ditetapkan mampu
dicapai. Penglibatan semua pihak dalam mengurus perkara ini membolehkan
sesebuah institusi atau sekolah itu bebas dari sebarang masalah yang
membabitkan pelajar sekolah dan orang luar. Oleh hal yang demikian, pengurusan
tingkah laku dan disiplin pelajar perlu dilaksanakan dengan sebaiknya dan
bersesuaian dengan situasi semasa.
Rujukan
Amir Hasan
Dawi (2021). Nota Kuliah Pengurusan Disiplin Murid. Diperoleh daripada Learning material melalui myGuru. https://myguru.upsi.edu.my/documents/2020/courses/KPS3014/material/K00174_20200216123330_13%20PENGURUSAN%DISIPLIN%20MURID.ppt
Kamus Dewan Edisi Keempat (2021), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lukman Hakim
Mohammad Amin et al., (2019). Masalah Kecelaruan Tingkah Laku: Ponteng Sekolah.
International Journal of Humanities,
Management and Social Sciences, 2(1), 51-64. http://lamintang.org/journal/index.php/ij-humass/article/view/22/19
Muhammad Faizal A. Ghani, Norfariza Mohd
Radzi, Simin Ghavifekr dan Husaina Banu Kenayatullah. (2014). Pengurusan
Disiplin Murid Di Kawasan Bandar dan Luar Bandar: Perspektif Pemimpin Sekolah. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 1(1). http://e-journal.um.edu.my/publish/JuPiDi/
Norhasilah
Mat Nor, Aspaniza Hamzah dan Nurul Farhana Junus. (2012). Faktor-faktor yang Mempengaruhi
Gejala Ponteng di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa
Jaya 2, Skudai. Journal of Educational
Psychology & Counselling, 5, 12-29. http://eprints.utm.my/id/eprint/23000/1/JEPC-5-2012-003.pdf
Sire Etum,
Al-Amin Mydin dan Abdul Ghani Kanesan Abdullah. (2021). Pengaruh Pengurusan Disiplin
Sekolah, Tingkah Laku Buli Murid dan Estim Kendiri Murid Terhadap Kualiti Kehidupan
Murid: Suatu Pemerhatian Awal. Malaysian
Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(10), 303-312. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i10.1111
Terdapat juga pautan blog ahli kumpulan 7 (Bab 6):
1. SHAMIELA NARISHA BINTI SULAIMAN:
https://tingkahlakudandisiplinkps.blogspot.com/2021/12/tingkahlaku-dan-disiplin.html
2. MANDY LAW SHIN JOE :
https://mandykps3014.blogspot.com/
3. AARON SWEE LEE :
https://aaronkps3014y2021.blogspot.com/?m=1
4. NURUL ZAYANIEY BINTI NORDIN:
https://zayanieyno.blogspot.com/2021/12/tajuk-6-pengurusan-tingkah-laku-dan.html?m=1
No comments:
Post a Comment