Anak-anak merupakan anugerah yang teristimewa buat ibu bapa yang baru sahaja dikurniakan cahaya mata. Setiap pasangan yang berkahwin memang menginginkan cahaya mata bagi menceriakan hidup mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak dikatakan sebagai pelengkap dalam hidup berumah tangga. Setiap ibu bapa akan berasa gembira dan seronok sekiranya si manja mampu memberikan respon serta mengeluarkan perkataan apabila mereka dibawa bermain bersama-sama. Persoalannya, bagaimanakah kanak-kanak ini boleh memperoleh bahasa pertama mereka? Adakah secara semula jadi atau rangsangan daripada ibu bapa mereka? Oleh hal yang demikian, mari kita kupas persoalan ini.
Sebelum itu, ada baiknya sekiranya kita
mengetahui apa itu bahasa. Asmah Hj.
Omar (1986) dalam buku Siti Hajar Abdul Aziz (2011), berpendapat bahawa bahasa
merupakan alat yang digunakan oleh manusia untuk berhubung dengan manusia lain,
yakni dengan menggunakan bunyi-bunyi yang dikeluarkan oleh alat-alat ujaran
yang terdapat dalam tubuh manusia. Selain itu, bahasa terdiri daripada sejumlah
ayat dan setiap satu mempunyai sejumlah unsur dan kepanjangan yang terbatas.
Takrifan ini telah dikemukakan oleh Chomsky (1957a) dalam buku oleh Noor Aina
Dani. (2017).
Kajian pemerolehan bahasa telah dimulakan
oleh Tiedemann iaitu seorang ahli biologi berbangsa Jerman pada tahun 1787. Menurut
Simanjuntak (2016), pemerolehan bahasa ialah proses-proses yang berlaku pada
waktu kanak-kanak menuranikan (internalize) tatabahasa bahasa ibundanya dan
sewaktu mereka menguasai perlakuan atau penerapan tatabahasa ini dalam
pemahaman dan penerbitan ayat-ayat. Pemerolehan bahasa dapat diklasifikasikan
kepada dua iaitu pemerolehan bahasa pertama dan pemerolehan bahasa kedua. Pemerolehan
bahasa dikatakan berlaku sejak bayi itu dilahirkan iaitu melalui konteks sosial
sebelum mereka mula bercakap. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam
mendedahkan anak-anak mereka kepada objek-objek yang berada di sekeliling
mereka. Hal ini demikian kerana pendedahan kepada bahasa amat penting untuk
kanak-kanak mempelajari bahasa walaupun mereka belum mampu menghasilkan
perkataan. Secara amnya, perkataan pertama akan muncul apabila bayi berumur
lebih kurang setahun. Walaupunbagaimanapun, ada kajian yang menyatakan bahawa
ianya lebih awal iaitu sebelum bayi berusia setahun.
Peringkat Pemerolehan Bahasa Pertama
Kanak-kanak
memperoleh bahasa pertama mereka adalah dengan berperingkat-peringkat. Antara
peringkat dalam pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak ialah peringkat vokalis
(Bebelan), peringkat holofrasa (Pertuturan Satu Kata), peringkat Telegrafik
(Pertuturan Dua Tiga Kata) dan peringkat perkembangan ayat kompleks. Pada
peringkat vokalis iaitu bebelan, peringkat ini dikenali sebagai peringkat
pralinguistik. Peringkat ini melibatkan tempoh berdekut dan mengagah. Tempoh
berdekut berlaku pada bulan pertama selepas kelahiran bayi. Dalam tempoh ini, bayi
menangis banyak kali dalam sehari dan
tangisan ini disertai dengan penghasilan bunyi. Selepas tempoh berdekut, muncul
pula keadaan di mana bayi akan mengagah. Pada tempoh ini, kira-kira usia enam
hingga sembilan bulan, bayi di seluruh dunia menghasilkan bunyi yang sama,
iaitu bunyi rambang yang tiada kaitan dengan persekitaran bayi. Contoh bunyi
bukan bahasa yang dihasilkan oleh bayi seperti ee…..eee….., uu…..uuu…..,
aa…..aaa….., oo…..ooo. Bayi juga mula mengatur ucapan mengikut pola suku
kata dengan lebih teratur yang umumnya
berbentuk konsonan dan vokal. Ujaran yang dihasilkan oleh bayi bermula dengan
pengucapan satu suku kata seperti ba-ba-ma-ma-ma. Bayi juga kerap membebel bila
bersendirian berbanding bersama-sama orang lain.
Seterusnya, peringkat holofrasa iaitu
pertuturan satu kata berlaku sewaktu kanak-kanak berusia 10 hingga 18 bulan. Peringkat
ini dikenali sebagai peringkat linguistik pertama. Kanak-kanak pada peringkat ini memiliki
prarasa atau firasat tentang bunyi dan makna. Pada fasa ini, perkataan yang
diujarkan mendukung tiga fungsi utama iaitu kata dihubungkan dengan keinginan
dan tindakan kanak-kanak itu sendiri, kata digunakan untuk menyampaikan luahan
emosi dan kata berfungsi sebagai nama. Sebagai contoh, kanak-kanak kecil yang
kehilangan ibunya akan menjerit ‘mama’
untuk makna I want my mama atau menunjuk
kepada kasut dan menyebut ‘mama’
untuk makna The shoe belongs to mama.
Keadaan ini menunjukkan kanak-kanak boleh mengaitkan kata dengan keinginan dan
tindakan mereka sendiri. Ada penyelidikan yang menunjukkan bahawa kanak-kanak
boleh menggambarkan sesuatu keadaan kompleks dengan untaian holofrasa.
Misalnya, kata car, go dan bus digunakan untuk menyatakan keadaan apabila
mendengar bunyi kereta mengingatkan kanak-kanak itu bahawa semalam dia menaiki
bas.
Peringkat seterusnya ialah peringkat telegrafik
iaitu pertuturan dua atau tiga kata. Pada masa ini, kanak-kanak berumur sekitar
18 hingga 4 tahun. Pertuturan dua atau tiga kata akan berlaku dan kanak-kanak
mungkin mempelajari 40 perkataan baharu dalam seminggu. Pertuturan ini
bertujuan untuk meminta, bertanya, menjawab, memberitahu dan sebagainya. Contoh
dua tiga kata yang diujarkan oleh kanak-kanak ialah “adik minum”, “nak makan”,
“ibu mana”, “adik nak ikut”.
Akhir sekali ialah peringkat perkembangan
ayat-ayat kompleks. Perkembangan ayat-ayat kompleks berlaku ketika kanak-kanak
berusia 5 tahun hingga 12 tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak mula
menggunakan nafian, soalan, dan struktur ayat yang lebih kompleks dan berguna
dalam bahasanya. Pada umur 9 atau 10 tahun ke atas, kanak-kanak memperoleh
semua struktur bahasa pertamanya pada tahap praolahan iaitu rendah-sederhana. Seterusnya
meningkat ke tahap olahan konkrit pada umur 11 hingga 12 tahun. Selepas umur 12
tahun, kanak-kanak mencapai olahan formal atau memperoleh struktur bahasa orang
dewasa. Contoh ayat kompleks yang digunakan ialah “saya dan adik bermain bola bersama kawan-kawan”.
Teori Pemerolehan Bahasa Pertama
Terdapat
dua teori yang dikemukakan dalam pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak. Antara
teori yang dikemukakan ialah teori behavioris yang dipelopori oleh Ivan Pavlov,
J.B. Watson, B.F.Skinner dan teori mentalis oleh Noam Chomsky, Miller,
J.Piaget.
Teori Mentalis atau kognitif telah
diperkenalkan oleh Noam Chomsky. Beliau memfokuskan minda sebagai salah satu
daripada alat mental yang berinteraksi dengan input linguistik untuk
menghasilkan kecekapan berbahasa. Menurut Chomsky dan Miller (1957) dalam buku
Mangantar Simanjuntak (2016), sejak lahir lagi setiap kanak-kanak memiliki alat
khusus yang membolehkan mereka untuk berbahasa. Alat khusus ini dikenali
sebagai Language Acquisition Device (LAD) atau alat pemerolehan bahasa dalam
bahasa melayu. Alat ini berfungsi untuk memperincikan struktur bahasa yang
diterima oleh seseorang kanak-kanak. Menurut Piaget, semua kanak-kanak yang
lahir telah dilengkapi oleh alat nurani yang berbentuk mekanikal umum untuk
semua kebolehan manusia termasuklah kebolehan untuk mereka berbahasa. Alat
nurani ini dikenali sebagai alat pemerolehan bahasa oleh Chomsky dan Miller.
Teori Behavioris pula telah diperkenalkan
oleh Ivan Pavlov dan dikembangkan oleh B.F.Skinner, Watson dan lain-lain. Teori
ini memberikan fokus terhadap perhubungan antara ‘rangsangan’ dan ‘gerak
balas’. Kewujudan bahasa dianggap diperoleh daripada operasi rancangan (R) dan
gerak balas atau stimulus (S). Teori ini turut menekankan kepentingan
persekitaran dalam pemerolehan bahasa yang berlandaskan Teori Pelaziman Operan
yang dipelopori oleh B.F.Skinner. Skinner menyatakan bahawa pembelajaran bahasa
kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga mengajar kanak-kanak
bercakap. Ibu bapa atau ahli keluarga yang lain juga harus memberi galakan
dengan memberikan ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut
perkataan yang diajar. Antara ganjaran yang diberikan kepada kanak-kanak
tersebut adalah pujian seperti “pandai”, senyuman, ciuman, tepuk tangan,
pelukan dan lain-lain. Hal ini amat penting bagi merangsang kanak-kanak supaya
mengulangi perlakuan yang telah dipelajari.
Mangantar
Simanjuntak (2016). Pengantar Linguistik
Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noor
Aina Dani (2017). Asas Psikolinguistik.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti
Hajar Abdul Aziz (2011). Bahasa Melayu I.
Kuala Lumpur : Oxford Fajar Sdn. Bhd
Iffa.
(2009, April 7). Psikolinguistik : Pemerolehan Bahasa Pada Awal Kanak-kanak.
Diperoleh pada April 13, 2021 daripada https://iffaizyan.blogspot.com/2009/04/kanak-kanak-merupakan-anugerah-tuhan.html?m=1
http://www.scribd.com/doc/11959433/psikolinguistik
No comments:
Post a Comment