Wednesday, 19 May 2021

Pemerolehan Bahasa Kedua

 

PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA : APA ITU PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA?

Sebut sahaja mengenai pemerolehan bahasa kedua, kita sering tertanya-tanya, bagaimana bahasa itu diperoleh? Adakah cara memperolehi bahasa itu mempunyai persamaan dengan pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak atau sebaliknya? Apakah tujuan untuk memperoleh dan mempelajari bahasa kedua ini? Oleh itu, saya akan berkongsi sedikit sebanyak mengenai pemerolehan bahasa kedua bagi menambahkan lagi pengetahuan kita mengenai pembelajaran ini.

Apa itu Pemerolehan Bahasa Kedua?

   Bahasa kedua merupakan bahasa yang diperoleh kanak-kanak setelah mereka menguasai bahasa pertama dengan sempurna. Pemerolehan bahasa kedua dianggap berbeza dengan pemerolehan bahasa pertama. Hal ini demikian kerana pemerolehan bahasa kedua merujuk kepada perkembangan bahasa orang dewasa. Perbezaan ini dapat dilihat dari segi pemerolehan bahasa itu sendiri. Pemerolehan bahasa kedua atau B2 boleh diperoleh melalui pembelajaran  formal dengan informal secara sedar ataupun tidak. Pemerolehan bahasa pertama pula diperoleh secara semula jadi dan secara tidak sengaja serta tidak sedar.

 

Konsep Utama dalam Pemerolehan Bahasa Kedua

1.Semula jadi atau asuhan

   Terdapat dua pendapat yang dikemukakan mengenai bagaimanakah pemerolehan bahasa kedua boleh berlaku. Pendapat yang pertama telah dikemukakan oleh Noam Chomsky. Beliau berpendapat bahawa bahasa manusia terlalu kompleks untuk dipelajari. Oleh hal yang demikian, seseorang individu mesti mempunyai kecenderungan semula jadi untuk menjangkakan bahasa semula jadi disusun dengan cara yang tertentu. Skinner pula berpendapat bahawa bahasa boleh diperolehi dengan cara meniru ucapan yang dujarkan oleh penutur atau pengasuh.

 

2. Kompetensi dan prestasi

   Kompetensi merujuk kepada gambaran abstrak dan tersembunyi daripada pengetahuan bahasa yang terdapat dalam minda kita. Ianya berpotensi untuk mencipta dan memahami ujaran asli dalam bahasa tertentu. Prestasi pula boleh ditakrifkan sebagai gambaran kecekapan yang tidak sempurna. Hal ini kerana sebahagian daripada pemprosesan komplikasi yang terlibat dalam pertuturan atau bentuk pengeluaran bahasa lain boleh membawa kepada kesilapan dalam menghasilkan ujaran.

3. Fosilisasi

   Seseorang individu yang mempelajari bahasa kedua dilihat seperti berhenti untuk membuat apa-apa kemajuan, tidak kira sebanyak mana kelas mereka hadiri atau seberapa aktif mereka menggunakan bahasa kedua untuk tujuan berkomunikasi. Terdapat penjelasan mengenai perkara ini iaitu penjelasan dari sudut psikolinguistik dan sosiolinguistik. Dari sudut psikolinguistik, mekanisme pembelajaran bahasa khusus yang tersedia kepada kanak-kanak tidak berlaku kepada orang dewasa. Hal ini demikian kerana tiada usaha dan kajian yang boleh membina mereka untuk mempelajari bahasa tersebut. Dari sudut sosiolinguistik pula seseorang individu berusia yang mempelajari bahasa kedua tidak mempunyai peluang sosial atau motivasi untuk berkomunikasi dengan komuniti penutur asli.

4. Gangguan bahasa pertama sebagai strategi pelajar

   Corder (1978) telah menggariskan satu cara di mana gangguan yang berlaku boleh dijadikan strategi untuk pelajar mempelajari bahasa kedua mereka. Beliau telah memcadangkan bahawa pelajaran bahasa pertama mampu mempermudahkan proses perkembangan pembelajaran bahasa kedua. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar itu mengalami kesukaran dalam menyampaikan idea disebabkan kurangnya sumber bahasa yang mereka sasarkan, maka mereka boleh mengatasi masalah tersebut dengan menggunakan bahasa pertama mereka. Hal ini menjelaskan mengapa bahasa pertama amat penting dalam permulaan proses pembelajaran seseorang. Cadangan ini agak serupa dengan cadangan yang dikemukakan oleh Krashen (1981), iaitu beliau mencadangkan bahawa pelajar boleh menggunakan bahasa pertama mereka untuk memulakan ucapan sekiranya mereka tidak memiliki pengetahuan yang cukup mengenai bahasa sasaran untuk tujuan berkomunikasi dengan orang lain.




Faktor yang Mempengaruhi Pembelajaran B2

   Pembelajaran bahasa kedua oleh seseorang individu adalah dipengaruhi oleh sesuatu perkara. Keadaan ini memungkinkan mereka mempelajari bahasa kedua untuk tujuan tertentu. Terdapat faktor yang menyebabkan seseorang individu itu untuk mempelajari bahasa kedua mereka. Antara faktor-faktornya ialah faktor motivasi, faktor persekitaran, faktor umur, faktor kualiti pengajaran, faktor bahasa pertama dan faktor kepintaran.

   Dalam mempelajari bahasa kedua, motivasi yang kuat mampu menghasilkan penguasaan B2 dengan baik. Mengikut perspektif ini, motivasi merangkumi dorongan, keinginan, kesediaan, alasan atau tujuan yang mendorong seseorang itu untuk mempelajari bahasa kedua. Seseorang itu boleh termotivasi untuk mempelajari bahasa keduanya mengikut sebab-sebab yang tersendiri. Faktor motivasi di sini boleh diklasifikasikan kepada motivasi integratif dan motivasi instrumen. Motivasi integratif adalah berkaitan dengan keinginan seseorang individu untuk berkomunikasi dengan orang lain, manakala motivasi instrumen merujuk kepada keinginan untuk memperoleh tuntutan peluang pekerjaan tertentu.

   Selain itu, faktor yang boleh mempengaruhi seseorang individu untuk mempelajari bahasa kedua ialah faktor persekitaran. Faktor ini meliputi persekitaran formal dan tidak formal. Persekitaran formal merupakan persekitaran sekolah yang telah dirancang seperti pengajaran dan pembelajaran serta diarahkan untuk melakukan aktiviti yang berorientasikan kaedah (Krashen, 2002: 26). Persekitaran tidak formal pula merujuk kepada persekitaran semula jadi.

   Seterusnya, faktor umur turut menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi seseorang itu untuk mempelajari bahasa kedua. Menurut Lambert (1981: 31), kanak-kanak memiliki kemahiran dalam mempelajari bahasa kedua. Hal ini demikian kerana, pada peringkat umur mereka yang masih muda ini, kemahiran untuk mempelajari bahasa lebih mudah dan cepat berbanding dengan orang dewasa. Dari segi sebutan perkataan, kanak-kanak memiliki kemahiran untuk bertutur dengan fasih walaupun mereka harus mengembangkan peraturan bahasa secara semula jadi.

   Faktor kualiti pengajaran juga merupakan salah satu daripada faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa kedua seseorang individu. Teori pembelajaran yang diajar secara semula jadi mampu memberi makna yang baik kepada kanak-kanak dalam kehidupan harian mereka. Namun demikian, pengajaran yang dilakukan secara formal membolehkan kanak-kanak menguasai bahasa kedua mereka dengan cepat walaupun mereka tidak menyatakan tahap penguasaan dalam komunikasi semula jadi (Elis, 1986: 28).

   Faktor bahasa pertama turut mempengaruhi pembelajaran bahasa kedua oleh seseorang individu. Bahasa pertama yang berhubungkait dengan bahasa kedua boleh membantu pelajar untuk mengembangkan kemahirannya dalam mempelajari bahasa kedua. Walau bagaimanapun, percampuran kod mungkin akan berlaku sekiranya individu itu menerapkan pertuturan bahasa pertamanya dalam bahasa kedua yang dipelajari.

   Akhir sekali, faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa kedua ialah faktor kepintaran. Tahap kecerdasan kanak-kanak boleh mempengaruhi pemerolehan bahasa kedua mereka. Hal ini telah dikemukakan oleh Lambert, (1981: 154). Beliau berpendapat bahawa kanak-kanak yang mempelajari dua bahasa cenderung untuk mempunyai prestasi yang baik sama ada dari segi ujian kecerdasan verbal dan non verbal berbanding dengan kanak-kanak yang mempelajari satu bahasa sahaja.

 

 

Hipotesis Pemerolehan Bahasa Kedua          

   Terdapat lima hipotesis permerolehan bahasa kedua yang dikemukakan oleh Stephen Krashen. Antaranya ialah hipotesis pemerolehan-pembelajaran, hipotesis monitor, hipotesis urutan semula jadi, hipotesis masukan dan hipotesis penapisan efektif.

1. Hipotesis Pemerolehan-Pembelajaran

    Hipotesis ini merujuk kepada bagaimana bahasa kedua sebagai sistem yang diperoleh atau dipelajari. Sistem yang diperoleh membawa maksud bahawa bahasa yang dikuasai adalah melalui proses bawah sedar. Krashen dalam bukunya yang bertajuk “Principle and Practice in Second Language Acquisition”, menekankan bahawa pemerolehan bahasa merupakan proses bawah sedar manusia. Beliau turut menjelaskan bahawa pelajar tidak menyedari yang mereka mempelajari bahasa tetapi hanya meyedari bahawa mereka berkomunikasi. Tuntasnya, pemerolehan bahasa berlaku apabila pelajar berkomunikasi secara semula jadi tanpa berfokus kepada peraturan tatabahasa.

    Berbeza pula dengan pembelajaran bahasa di mana bahasa dikuasai oleh pelajar secara sedar. Hal ini telah dipersetujui oleh Krashen, iaitu beliau berpendapat bahawa pembelajaran merujuk kepada pengetahuan secara sedar “…The term (learning) henceforth to refer to conscious knowledge of second language”. Hal ini boleh dirumuskan bahawa pembelajaran bahasa boleh dilakukan secara formal  seperti belajar di dalam kelas, kursus dan lain-lain dengan mengetahui peraturan tatabahasa serta belajar secara kontekstual.

 

2. Hipotesis Pemantauan

    Hipotesis ini menjelaskan bahawa setiap manusia dalam proses bahasa dalaman mempunyai monitor yang berfungsi sebagai penyuntingan dan pembetulan. Contohnya, dalam mempelajari bahasa Arab, terdapat penggunaan ism mu’annats dan mudzakkar, monitor akan muncul dalam fikiran seseorang untuk mempertimbangkan ketika pelajar menggunakan Hadza atau Hadzihi. Hipotesis ini turut berpendapat bahawa pemerolehan dan pembelajaran digunakan dengan cara yang sangat kompleks dan spesifik. Secara amnya, pemerolehan bahasa dimulakan dengan membuat pelajar bertutur dalam bahasa kedua dan bertanggungjawab untuk bertutur dengan fasih.

  

3. Hipotesis Urutan Semula Jadi

    Dalam hipotesis urutan semula jadi, Krashen berpendapat bahawa struktur bahasa diperoleh mengikut urutan semula jadi yang dapat dianggarkan. Hal ini kerana beberapa struktur bahasa tertentu cenderung untuk muncul lebih awal dari struktur lain dalam proses pemerolehan bahasa. Sebagai contoh, dalam struktur fonologi, kanak-kanak cenderung memperoleh vokal-vokal seperti (a) sebelum memperoleh vokal seperti (i) dan (u). Selain itu, kanak-kanak juga akan menguasai konsonan hadapan terlebih dahulu daripada konsonan belakang. Hipotesis ini turut berlaku dalam kalangan orang dewasa.

4. Hipotesis Masukan

    Dalam hipotesis ini, pembelajaran bahasa kedua berlaku sekiranya pelajar mendapat maklumat atau pengetahuan satu tahap yang lebih tinggi daripada apa yang mereka kuasai. Oleh itu, pelajar perlu mempelajari perkara baru yang belum mereka ketahui. Hipotesis ini mempunyai rumus iaitu (i+1). (i) mewakili maksud input dan (1) membawa maksud kecekapan satu tahap dari sebelumnya. Sekiranya (i+2), maka pelajar akan merasa sukar untuk mempelajari bahasa. Berbeza jika (i+0) pelajar akan berasa malas untuk belajar kerana mereka telah menguasai pembelajaran tersebut.

5. Hipotesis Penapisan Efektif

    Hipotesis penapisan efektif ini menjelaskan bahawa setiap manusia mempunyai penapisan efektif atau dikenali sebagai ‘effective filter’. Penapis inilah yang memberikan rasa takut, malu dalam diri pelajar. Hal ini berbeza dengan pelajar yang mempunyai motivasi tinggi, keyakinan tinggi dan kecemasan yang rendah, mereka akan cenderung untuk berjaya dalam pemerolehan bahasa. Krashen turut berpendapat bahawa penapis ini akan menghalang pelajar untuk menerima bahasa. Contohnya, jika seorang pelajar tidak berminat untuk mempelajari bahasa Arab, penapis pelajar ini akan menjadi lebih sempit begitu juga halnya sekiranya pelajar tersebut diejek apabila melakukan kesalahan dalam berbahasa. Keadaan ini akan menjadi masalah kepada pelajar kerana perkembangan psikologi mereka semakin sensitif terhadap persekitaran.

 

 

 

Bibliografi

https://www.researchgate.net/publication/335690866_An_Introduction_to_the_Second_Language_Acquisition

https://core.ac.uk/download/pdf/230816374.pdf

https://www.researchgate.net/publication/323387864_Pemerolehan_Bahasa_Kedua_Menurut_Stephen_Krashen



 

 

Kecelaruan Bahasa

 

KECELARUAN BAHASA : DISLEKSIA

 

 


Anak lambat bercakap? Sukar belajar perkataan baru? Ayat ini seringkali menjadi persoalan sekiranya kanak-kanak yang sepatutnya sudah boleh bercakap dan boleh belajar perkataan baru tetapi tidak mampu melakukan perkara sedemikian. Hati ibu dan ayah mana yang tidak risau apabila mengetahui anak mereka mengalami masalah ini jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengan anak mereka. Hal ini menjadikan ibu bapa tidak keruan tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Keadaan anak-anak yang lambat bertutur dan sukar mempelajari perkataan baru akan dianggap sukar untuk menjalankan aktiviti pembelajaran kelak. Oleh hal yang demikian, pasangan yang mempunyai anak-anak seperti ini perlulah peka dalam perkembangan yang berlaku terhadap anak-anak mereka.

   Kesukaran seseorang kanak-kanak untuk bertutur dan memahami pertuturan membawa maksud kepada kecelaruan bahasa. Hal ini telah dikemukakan oleh Dr. Raja Juanita Raja Lope, iaitu Pakar Perunding Pediatrik dan Perkembangan Pediatrik dari Hospital Pantai Kuala Lumpur. Walaupun kanak-kanak itu mempunyai masalah kecelaruan bahasa, mereka tidak memiliki sebarang gangguan perkembangan lain seperti autisme, ketidakupayaan intelektual atau kecacatan fizikal. Di sini saya akan berkongsi mengenai salah satu jenis kecelaruan bahasa iaitu disleksia.

Apa Itu Disleksia?

   Disleksia merupakan salah satu daripada kecelaruan bahasa yang terjadi kepada kanak-kanak. Disleksia adalah masalah cara otak berfungsi, cara berfikir, cara melihat dan cara mendengar. Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang bermaksud ‘kesukaran’ dan lexis yang bermaksud bahasa. Secara amnya, disleksia boleh ditakrifkan sebagai ‘kesukaran dalam berbahasa’ (Ott dalam Shiela Devaraj dan Samsilah Roslan, 2006) dalam buku Norul Haida Rezudan (2013). Kanak-kanak yang mempunyai masalah ini hanya mengalami gangguan dalam pembelajaran ketika peringkat kanak-kanak dan ianya bukanlah sejenis penyakit. Sebagai contoh, kanak-kanak disleksia ini mengalami gangguan dalam pembacaan, menulis, mengeja dan mengira walaupun mereka mempunyai pemikiran yang normal. Selain itu, World Federation of Neorology dalam buku Norul Haida Rezudan (2013), mendefinisikan disleksia sebagai satu gangguan dalam diri kanak-kanak yang telah menerima pendidikan biasa, tetapi tidak memperolehi kemahiran bahasa, bacaan, menulis dan ejaan yang setaraf dengan intelek. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam buku Norul Haida Rezudan (2013), murid yang mengalami masalah pembelajaran disleksia ialah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran membaca, mengeja dan menulis.

Ciri-ciri Disleksia

1.Peringkat Prasekolah

   Pada awal peringkat persekolahan, kanak-kanak disleksia sering mengalami masalah pertuturan. Kanak-kanak ini sukar mencampur-adukkan bunyi dan suku kata dalam perkataan yang panjang. Misalnya, apabila mereka diminta untuk menyebut perkataan ‘pelbagai’, perkataan tersebut disebut sebagai ‘pelgabai’. Mereka suka mengganti perkataan dengan perkataan lain semasa bercakap dan dianggap hiperaktif ketika berada di mana-mana sahaja. Mereka juga mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi terhadap perkara baharu dan suka bertanya banyak perkara.

2. Peringkat Sekolah Rendah

   Kanak-kanak disleksia pada peringkat ini dikesan agak ketinggalan berbanding dengan pelajar yang lain. Hal ini menyebabkan mereka malas untuk belajar dan mengalami disgrafia iaitu kesulitan untuk menghasilkan tulisan tangan dan tulisan yang dihasilkan adalah tidak berapa baik. Mereka juga tidak dapat membezakan huruf-huruf dan nombor tertentu menyebabkan tulisan mereka menjadi terbalik. Contohnya, huruf ‘b’ menjadi ‘d’, perkataan ‘was’ menjadi ‘saw’ dan nombor 15 menjadi 51. Kanak-kanak ini sukar untuk menguruskan diri mereka seperti tidak dapat memasang butang baju dengan betul dan menghadapi masalah untuk mengikat kasut. Mereka juga tidak suka pergi ke sekolah dan beralasan seperti mengadu tidak sihat.

3. Peringkat Sekolah Menengah

   Pelajar disleksia pada peringkat ini mempunyai ciri yang sama seperti peringkat prasekolah dan sekolah rendah cuma ada perbezaan sedikit iaitu mereka mengalami masalah dalam mempelajari perbendaharaan kata. Mereka mempunyai kelemahan dalam menulis karangan dan penguasaan bahasa kedua juga agak terjejas. Hal ini menyebabkan mereka ketinggalan daripada pelajar-pelajar yang normal.

4. Peringkat dewasa

   Pada peringkat ini, terdapat persamaan ciri seperti peringkat-peringkat yang lain. Dari segi kelancaran membaca, orang dewasa disleksia ini masih kurang lancar dan perlu mengulangi pembacaan itu bagi memahami apa yang dibaca. Mereka juga masih keliru dalam membezakan huruf seperti “b” dan “d”. Selain itu, mereka turut mengalami masalah mengingat arah kanan dan kiri, dan boleh sesat untuk pulang ke rumah sendiri walaupun sudah biasa melakukan perkara tersebut.



Masalah Disleksia

1.Masalah Fonologi

   Masalah fonologi merujuk kepada kesukaran kanak-kanak untuk membezakan hubungan antara huruf dan bunyi. Menurut Sariah Amin, Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM) dalam buku Norul Haida Rezudan (2013), golongan yang mempunyai masalah disleksia sukar untuk membezakan huruf a, d dan g disebabkan bentuknya yang serupa walaupun cara membunyikannya berbeza. Kanak-kanak disleksia juga lazimnya mengalami kesukaran untuk membezakan perkataan seperti ‘paku’ dan ‘pasu’. Selain itu juga mereka mengeja perkataan berdasarkan bunyi. Sebagai contoh, apabila disuruh untuk mengeja perkataan ‘diam’, mereka akan mengeja perkataan tersebut kepada ‘diyam’.

2.Masalah Mengingat Perkataan

   Kebanyakkan kanak-kanak disleksia mempunyai IQ yang normal dan memiliki kecerdasan yang luar biasa seperti kanak-kanak yang lain. Namun demikian, mereka mempunyai masalah dalam mengingat atau mencari semula perkataan yang telah dipelajari. Sebagai contoh, apabila guru bertanya apa yang telah mereka pelajari pada masa lepas, mereka sukar untuk mengingat perkara itu. Mereka dikatakan hanya boleh mengingati peristiwa yang lepas lebih kurang 10 minit sahaja. Kanak-kanak disleksia ini juga sukar untuk menjawab soalan secara spontan apabila ditanyakan sesuatu soalan kepada mereka. Mereka turut mengalami masalah untuk mengingati nama kawan-kawan mereka walaupun kerap bermain bersama-sama. Kanak-kanak ini juga cenderung untuk menjadi kaku dan membisu ketika disoal oleh guru mereka di dalam kelas.

3.Masalah Penyusunan Bersiri

   Kanak-kanak disleksia turut mengalami masalah dalam mengingati maklumat secara tersusun seperti menghafal sifir-sifir dan sebagainya. Hal ini mencabar mereka untuk mengingati urutan-urutan nombor tersebut. Mereka juga mempunyai kesulitan dalam mengingati urutan maklumat seperti hari dalam seminggu, bulan dalam setahun dan lain-lain. Selain itu, kanak-kanak ini juga sukar untuk membaca masa berdasarkan jam yang menggunakan jarum. Contohnya, apabila mereka ditanyakan soalan seperti “25 minit selepas pukul 2.30 petang adalah…”. Persoalan sebegini tidak mampu dijawab oleh kanak-kanak yang mempunyai masalah disleksia.

Faktor-faktor Penyebab Disleksia

1.Keturunan

   Terdapat kajian perubatan di Barat yang mendapati bahawa kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang turut mempunyai sindrom seperti ini. Hal ini telah dibuktikan oleh Hallgren (1970) dalam buku Norul Haida Rezudan (2013), yang membuat kajian ke atas 12 pasangan kembar monozygote dan mendapati kesemua keluarga 12 kes itu menghadapi masalah dalam bacaan dan ejaan semasa zaman kanak-kanak. Hallgren turut mendapati bahawa masalah disleksia banyak dihadapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak kidal juga merupakan golongan yang mempunyai masalah disleksia. Hal ini kerana kemungkinan ibu bapa kanak-kanak tersebut mempunyai masalah ini dan mewariskan kepada anak-anak mereka.

2.Biologi

   Masalah disleksia juga boleh berpunca dari segi biologi. Dalam aspek ini, kanak-kanak yang dilahirkan secara pramatang atau tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan akan mengalami masalah ini. Keadaan ini menjadi punca kepada kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan seterusnya menyebabkan kerosakan minimum pada otak kanak-kanak tersebut. Penyelidik telah mengetahui punca masalah disleksia ialah apabila fungsi otak yang memproses dan mengatur maklumat adalah berbeza dari biasa. Kemungkinan kerosakan otak yang dialami oleh golongan disleksia berlaku sejak kanak-kanak berada di dalam kandungan ibu mereka lagi. Hal ini telah dikemukakan oleh pensyarah Psikologi Klinikal dari Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Profesor Dr. Azhar Md. Zain. Tambahan lagi, individu yang menghadapi masalah ini mengalami kerosakan saraf pada bahagian otak kiri mereka.

  

3. Pemakanan

   Pemakanan yang mengandungi nutrisi yang lengkap amat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana pemakanan yang tidak mencukupi semasa peringkat kanak-kanak membesar dengan pesat, pertumbuhan akan terencat (Bernet, 2005). Sebagai contoh, kanak-kanak dan remaja yang mengalami pertumbuhan yang pesat mesti mendapat bekalan kalori yang mencukupi.  Ini bagi mengelakkan proses pertumbuhan itu tidak terganggu. Terdapat penyelidikan, kajian dan penemuan yang dilakukan dalam mengenal pasti bahan pengawet dan pewarna tiruan yang menjadi pengganggu otak sekiranya diambil secara berlebihan terutama kepada kanak-kanak yang sedang mengalami proses pertumbuhan, Antara contoh bahan-bahan tersebut ialah salicylates, tartarzine (zat pewarna makanan), nitrat, amine, monosodium glutamate (MSG) dan sebagainya.

 

Rawatan

Masalah disleksia boleh dirawat namun tidak boleh diubati. Penghidap yang mengalami masalah ini secara kebiasaannya akan diberi rawatan terapi. Hal ini bagi kemahiran linguistik, berfikir dan bersosial. Sebagai contoh, langkah pemulihan yang dilakukan ialah menggunakan video atau kaset untuk mengajar mereka, konsep ajar secara berlebihan dan seumpamanya. Terdapat juga sekolah khusus serta program pemulihan untuk golongan disleksia ini.

 

BIBLIOGRAFI

1. Norul Haida Rezudan (2013), Ilmu Psikolinguistik, Tanjong Malim: Emeritus Publications.

2. https://my.theasianparent.com/cakap-lambat-kerana-kecelaruan-bahasa

3.https://www.researchgate.net/publication/327670607_Pemahaman_ibu_bapa_terhadap_masalah_dislesksia_Jeli_Kelantan

4. https://norazilasuboh.wordpress.com/dyslexia

5. https://www.dyslexiamalaysia.org/dyslexia/apa-itu-dyslexia

 

 

 

 

 

  

Pemerolehan Bahasa Pertama


  
 

Pemerolehan Bahasa Pertama : Bagaimana kanak-kanak memperoleh bahasa?



Anak-anak merupakan anugerah yang teristimewa buat ibu bapa yang baru sahaja dikurniakan cahaya mata. Setiap pasangan yang berkahwin memang menginginkan cahaya mata bagi menceriakan hidup mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak dikatakan sebagai pelengkap dalam hidup berumah tangga. Setiap ibu bapa akan berasa gembira dan seronok sekiranya si manja mampu memberikan respon serta mengeluarkan perkataan apabila mereka dibawa bermain  bersama-sama. Persoalannya, bagaimanakah kanak-kanak ini boleh memperoleh bahasa pertama mereka? Adakah secara semula jadi atau rangsangan daripada ibu bapa mereka? Oleh hal yang demikian, mari kita kupas persoalan ini.

   Sebelum itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apa itu  bahasa. Asmah Hj. Omar (1986) dalam buku Siti Hajar Abdul Aziz (2011), berpendapat bahawa bahasa merupakan alat yang digunakan oleh manusia untuk berhubung dengan manusia lain, yakni dengan menggunakan bunyi-bunyi yang dikeluarkan oleh alat-alat ujaran yang terdapat dalam tubuh manusia. Selain itu, bahasa terdiri daripada sejumlah ayat dan setiap satu mempunyai sejumlah unsur dan kepanjangan yang terbatas. Takrifan ini telah dikemukakan oleh Chomsky (1957a) dalam buku oleh Noor Aina Dani. (2017).

   Kajian pemerolehan bahasa telah dimulakan oleh Tiedemann iaitu seorang ahli biologi berbangsa Jerman pada tahun 1787. Menurut Simanjuntak (2016), pemerolehan bahasa ialah proses-proses yang berlaku pada waktu kanak-kanak menuranikan (internalize) tatabahasa bahasa ibundanya dan sewaktu mereka menguasai perlakuan atau penerapan tatabahasa ini dalam pemahaman dan penerbitan ayat-ayat. Pemerolehan bahasa dapat diklasifikasikan kepada dua iaitu pemerolehan bahasa pertama dan pemerolehan bahasa kedua. Pemerolehan bahasa dikatakan berlaku sejak bayi itu dilahirkan iaitu melalui konteks sosial sebelum mereka mula bercakap. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendedahkan anak-anak mereka kepada objek-objek yang berada di sekeliling mereka. Hal ini demikian kerana pendedahan kepada bahasa amat penting untuk kanak-kanak mempelajari bahasa walaupun mereka belum mampu menghasilkan perkataan. Secara amnya, perkataan pertama akan muncul apabila bayi berumur lebih kurang setahun. Walaupunbagaimanapun, ada kajian yang menyatakan bahawa ianya lebih awal iaitu sebelum bayi berusia setahun.

 

Peringkat Pemerolehan Bahasa Pertama

Kanak-kanak memperoleh bahasa pertama mereka adalah dengan berperingkat-peringkat. Antara peringkat dalam pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak ialah peringkat vokalis (Bebelan), peringkat holofrasa (Pertuturan Satu Kata), peringkat Telegrafik (Pertuturan Dua Tiga Kata) dan peringkat perkembangan ayat kompleks. Pada peringkat vokalis iaitu bebelan, peringkat ini dikenali sebagai peringkat pralinguistik. Peringkat ini melibatkan tempoh berdekut dan mengagah. Tempoh berdekut berlaku pada bulan pertama selepas kelahiran bayi. Dalam tempoh ini, bayi menangis banyak kali dalam sehari  dan tangisan ini disertai dengan penghasilan bunyi. Selepas tempoh berdekut, muncul pula keadaan di mana bayi akan mengagah. Pada tempoh ini, kira-kira usia enam hingga sembilan bulan, bayi di seluruh dunia menghasilkan bunyi yang sama, iaitu bunyi rambang yang tiada kaitan dengan persekitaran bayi. Contoh bunyi bukan bahasa yang dihasilkan oleh bayi seperti ee…..eee….., uu…..uuu….., aa…..aaa….., oo…..ooo. Bayi juga mula mengatur ucapan mengikut pola suku kata  dengan lebih teratur yang umumnya berbentuk konsonan dan vokal. Ujaran yang dihasilkan oleh bayi bermula dengan pengucapan satu suku kata seperti ba-ba-ma-ma-ma. Bayi juga kerap membebel bila bersendirian berbanding bersama-sama orang lain.

   Seterusnya, peringkat holofrasa iaitu pertuturan satu kata berlaku sewaktu kanak-kanak berusia 10 hingga 18 bulan. Peringkat ini dikenali sebagai peringkat linguistik pertama.  Kanak-kanak pada peringkat ini memiliki prarasa atau firasat tentang bunyi dan makna. Pada fasa ini, perkataan yang diujarkan mendukung tiga fungsi utama iaitu kata dihubungkan dengan keinginan dan tindakan kanak-kanak itu sendiri, kata digunakan untuk menyampaikan luahan emosi dan kata berfungsi sebagai nama. Sebagai contoh, kanak-kanak kecil yang kehilangan ibunya akan menjerit ‘mama’ untuk makna I want my mama atau menunjuk kepada kasut dan menyebut ‘mama’ untuk makna The shoe belongs to mama. Keadaan ini menunjukkan kanak-kanak boleh mengaitkan kata dengan keinginan dan tindakan mereka sendiri. Ada penyelidikan yang menunjukkan bahawa kanak-kanak boleh menggambarkan sesuatu keadaan kompleks dengan untaian holofrasa. Misalnya, kata car, go dan bus digunakan untuk menyatakan keadaan apabila mendengar bunyi kereta mengingatkan kanak-kanak itu bahawa semalam dia menaiki bas.

   Peringkat seterusnya ialah peringkat telegrafik iaitu pertuturan dua atau tiga kata. Pada masa ini, kanak-kanak berumur sekitar 18 hingga 4 tahun. Pertuturan dua atau tiga kata akan berlaku dan kanak-kanak mungkin mempelajari 40 perkataan baharu dalam seminggu. Pertuturan ini bertujuan untuk meminta, bertanya, menjawab, memberitahu dan sebagainya. Contoh dua tiga kata yang diujarkan oleh kanak-kanak ialah “adik minum”, “nak makan”, “ibu mana”, “adik nak ikut”.

   Akhir sekali ialah peringkat perkembangan ayat-ayat kompleks. Perkembangan ayat-ayat kompleks berlaku ketika kanak-kanak berusia 5 tahun hingga 12 tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak mula menggunakan nafian, soalan, dan struktur ayat yang lebih kompleks dan berguna dalam bahasanya. Pada umur 9 atau 10 tahun ke atas, kanak-kanak memperoleh semua struktur bahasa pertamanya pada tahap praolahan iaitu rendah-sederhana. Seterusnya meningkat ke tahap olahan konkrit pada umur 11 hingga 12 tahun. Selepas umur 12 tahun, kanak-kanak mencapai olahan formal atau memperoleh struktur bahasa orang dewasa. Contoh ayat kompleks yang digunakan ialah “saya dan adik bermain bola bersama kawan-kawan”.

Teori Pemerolehan Bahasa Pertama

Terdapat dua teori yang dikemukakan dalam pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak. Antara teori yang dikemukakan ialah teori behavioris yang dipelopori oleh Ivan Pavlov, J.B. Watson, B.F.Skinner dan teori mentalis oleh Noam Chomsky, Miller, J.Piaget.

   Teori Mentalis atau kognitif telah diperkenalkan oleh Noam Chomsky. Beliau memfokuskan minda sebagai salah satu daripada alat mental yang berinteraksi dengan input linguistik untuk menghasilkan kecekapan berbahasa. Menurut Chomsky dan Miller (1957) dalam buku Mangantar Simanjuntak (2016), sejak lahir lagi setiap kanak-kanak memiliki alat khusus yang membolehkan mereka untuk berbahasa. Alat khusus ini dikenali sebagai Language Acquisition Device (LAD) atau alat pemerolehan bahasa dalam bahasa melayu. Alat ini berfungsi untuk memperincikan struktur bahasa yang diterima oleh seseorang kanak-kanak. Menurut Piaget, semua kanak-kanak yang lahir telah dilengkapi oleh alat nurani yang berbentuk mekanikal umum untuk semua kebolehan manusia termasuklah kebolehan untuk mereka berbahasa. Alat nurani ini dikenali sebagai alat pemerolehan bahasa oleh Chomsky dan Miller.

    Teori Behavioris pula telah diperkenalkan oleh Ivan Pavlov dan dikembangkan oleh B.F.Skinner, Watson dan lain-lain. Teori ini memberikan fokus terhadap perhubungan antara ‘rangsangan’ dan ‘gerak balas’. Kewujudan bahasa dianggap diperoleh daripada operasi rancangan (R) dan gerak balas atau stimulus (S). Teori ini turut menekankan kepentingan persekitaran dalam pemerolehan bahasa yang berlandaskan Teori Pelaziman Operan yang dipelopori oleh B.F.Skinner. Skinner menyatakan bahawa pembelajaran bahasa kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga mengajar kanak-kanak bercakap. Ibu bapa atau ahli keluarga yang lain juga harus memberi galakan dengan memberikan ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar. Antara ganjaran yang diberikan kepada kanak-kanak tersebut adalah pujian seperti “pandai”, senyuman, ciuman, tepuk tangan, pelukan dan lain-lain. Hal ini amat penting bagi merangsang kanak-kanak supaya mengulangi perlakuan yang telah dipelajari.

 

 

 BIBLIOGRAFI

Mangantar Simanjuntak (2016). Pengantar Linguistik Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noor Aina Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Hajar Abdul Aziz (2011). Bahasa Melayu I. Kuala Lumpur : Oxford Fajar Sdn. Bhd

Iffa. (2009, April 7). Psikolinguistik : Pemerolehan Bahasa Pada Awal Kanak-kanak. Diperoleh pada April 13, 2021 daripada https://iffaizyan.blogspot.com/2009/04/kanak-kanak-merupakan-anugerah-tuhan.html?m=1

http://www.scribd.com/doc/11959433/psikolinguistik

 

 

   

  

  

 

 

 

NOTA KUMPULAN (KPS3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN)

  LINK UNTUK NOTA KUMPULAN (KPS3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN) ; Tajuk 1: Organisasi dan Kepimpinan https://organisasikepimpinandisekolah.blog...